Kuih Bakul atau Nian Gao atau kuih Tahun Baru Cina ialah makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut berbentuk seperti dodol. Sungguhpun boleh dimakan bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Memakan kuih bakul dipercayai membawa tuah pada masa perayaan ini kerana namanya "nian gao" (年糕) di mana perkataan 糕 (gāo) bermaksud 'kuih' dalam nama kuih ini berbunyi sama seperti perkataan 高 (gāo) bermaksud 'tinggi' melambangkan erti "semakin tahun semakin tinggi" (年年高升)(niánnián gāoshēng) atau ringkasnya "setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan".
Bahan
- 250 gm tepung pulut, diayak
- 250 ml air
- 280 gm gula pasir
- Daun pisang, dilayur
- 4-5 tin/loyang berukuran 10 cm
- Tali rafia/hem untuk mengikat
Cara membuat
- Gaulkan tepung pulut dengan air hingga sebati. Masukkan gula dan kacau rata hingga gula larut. Biarkan selama 15 minit.
- Alas tin dengan daun pisang, pastikan ia melebihi bahagian atas tin agar mudah mengikatnya di sekeliling (daun pisang dikelepetkan ke bawah).
- Didihkan air dan kemudian kecilkan api.
- Tuangkan separuh adunan ke dalam tin. Kukus selama 7-8 jam. Pastikan air yg ditambah ke dalam pengukus adalah air mendidih. Penutup kukus hendaklah dibungkus dengan beberapa lapisan kain muslin / kain kasa agar wap air tidak menitik ke atas kuih.
- Bila kuih masak, ia akan berwarna kecoklatan. Biar semalaman sebelum mengeluarkan ia dari tin.